Sunday, December 28, 2008
ALHAMDULILLAH kita baru selesai menyambut Aidiladha dalam keadaan yang tenang dan gembira. Walaupun di sesetengah tempat mengalami banjir dan bencana alam, seri hari raya yang sungguh bermakna itu setidak-tidaknya mengubat hati.
Semangat berkorban jelas kelihatan. Walaupun dalam sedikit kegawatan ekonomi, jumlah yang menyertai ibadat korban tidak berkurangan.
Nyata, semangat ingin berkongsi rezeki semakin subur. Mereka yang fakir dan miskin tidak dilupakan, masing-masing ada bahagian.
Sifat tolong-menolong, kerjasama, bantu-membantu serta kasih sayang sebahagian daripada pakej dalam melaksanakan ibadat korban. Semua ini diwarisi daripada pengorbanan luar biasa Nabi Ibrahim a.s sekeluarga.
Ibadat korban ibadat juga tetapi pengajaran dan falsafah yang terselindung di sebalik ibadat itu sepatutnya dihayati supaya manfaat rohani dapat mendidik jiwa serta nurani mereka yang terbabit dalam ibadat agung itu.
Antara falsafah yang boleh dihayati:
1. Semangat berkorban untuk agama tercinta akan mudah terlaksana jika mendapat sokongan padu daripada keluarga dan saudara terdekat.
Lihat saja Nabi Ibrahim a.s, suruhan Allah mudah dapat ditunaikan apabila isteri dan anak tercinta bukan saja reda, malah merelakan diri tanpa bantahan.
Sebenarnya kejayaan Nabi Ibrahim kerana mampu mendidik keluarga dalam menghayati erti kecintaan kepada Allah tanpa berbelah bagi.
Segala ketaatan bermula dengan cinta Allah. Bagaimana mungkin melakukan sesuatu tanpa cinta. Akan berlaku keterpaksaan. Apabila buat dengan terpaksa yang ringan terasa berat dan beban.
Jika berbuat sesuatu atas dasar cinta, yang berat akan terasa ringan manakala yang ringan lagi mudah dibawa.
Berkorban maknanya memberi. Senangkah hendak memberikan sesuatu tanpa kelihatan balasan di depan mata?
Didiklah keluarga bermula dengan cinta Allah. Jika tidak, nanti mereka akan menjadi penghalang kerana tidak faham misi dan matlamat apa yang kita lakukan.
Contohnya dalam kalangan doktor, cara dan masa bekerja jika tidak difahami keluarga, mereka akan merungut.
Begitulah juga tentera dan polis yang bekerja menjaga keselamatan demi negara kadangkala mereka terancam juga jika keluarga tidak faham. Bagaimana hendak bertugas dengan tenang?
2. Menyembelih haiwan ternakan kepada mereka yang masuk bahagian korban, sunat melihat upacara korban itu jika berkesempatan kerana ketika haiwan itu disembelih kita akan melihat sendiri upacara merebah, mengikat dan menyembelih, kemudian melihat sendiri darah mengalir dan nafas terakhir haiwan sembelihan.
Ini bertujuan supaya kita bukan saja menyembelih haiwan korban tetapi juga 'menyembelih' sifat kebinatangan yang terselit dalam perangai kita seperti tamak haloba, dengki khianat dan sebagainya.
Sepatutnya kita bermuhasabah mengenai akhlak kita. Bagaimana hendak membaiki diri, ubah diri dan pertingkatkan kualiti diri?
Kita kadangkala sanggup menghabiskan banyak masa untuk membaiki kereta, membaiki komputer, bahkan kita banyak menghabiskan masa untuk menganalisis diri orang lain tetapi berapa banyakkah masa yang sudah kita luangkan untuk membetulkan diri kita sendiri?
Berapa banyakkah masa sudah kita habiskan untuk membetulkan diri kita? Jangan asyik memberikan komentar terhadap orang lain saja, sedangkan diri sendiri terlupa untuk turut membuat kritikan.
Hendak mengata orang sememangnya mudah. Hendak mengkritik orang senang, malah hendak mengubah orang lain pun mudah, tetapi yang payah dan liat apabila hendak kritik diri sendiri.
3. Berbuat sesuatu biarlah dengan ikhlas. Kebaikan yang kita lakukan kalau dengan ikhlas bukan supaya dikenang tetapi akan dikenang.
Contohnya, Nabi Ibrahim a.s, baginda berkorban hanya kerana Allah. Orang lain tidak tahu pun apa yang dia lakukan tetapi dengan kepatuhan yang padu Allah pula yang minta manusia lain mengenangkannya.
Ibu bapa sudah tentu mendidik anak hanya kerana hendak melihat anaknya berjaya dan menjadi orang baik. Sudah tentu usaha itu akan dikenang anak.
Lihat saja apabila tiba hari raya, semua akan balik kampung untuk bersama dengan orang yang sangat berjasa dalam kehidupannya.
Samalah juga dengan pemimpin yang ikhlas akan dikenang pengorbanan dan jasa mereka. Begitulah lumrah alam menganugerahkan kepada yang ikhlas.
4. Cuba lihat darah yang mengalir daripada haiwan korban, warna merah dan baunya hanyir, malah kadangkala meloyakan tekak.
Jangan pandang remeh ibadat korban itu. Cubalah fikir lebih jauh. Banyak darah orang Islam yang tumpah angkara fitnah musuh dan pembunuhan kejam terhadap orang Islam yang tidak berdosa.
Boleh jadi kerana memandang remeh terhadap peristiwa korban ini kita tidak terasa tragisnya kematian akibat penyembelihan musuh terhadap saudara kita seagama di negara yang bergolak.
Sepatutnya kita sesama saudara Islam sama-sama rasai keperitan itu. Cubit peha kanan, peha kiri terasa tetapi sekarang sudah tidak terasa.
Boleh jadi peha kiri sudah kebas atau terkena strok menyebabkan kita hanya membisu apabila pembunuhan yang terjadi terhadap umat Islam. Apa yang menakutkan roh jihad sudah juga turut kebas dan kena strok!
i will disappear; helpless.
7:12 AM